LUKA
Bagi sesiapa yang bakal menjalani pembedahan besar dengan bius penuh, adakah doktor bius anda menawarkan pembiusan tambahan; contohnya bius epidural, bius kawasan (regional) dan sebagainya?
Jika ada ditawarkan, saya nasihatkan ambillah. Ada sebabnya kami tawarkan ia kepada anda.
Ramai pesakit yang menjalani pembedahan major, kami dapati mereka cenderung menolak apabila ditawarkan bius tambahan seperti epidural, blok dan sebagainya. Mereka akan katakan ‘Saya tak nak cucuk-cucuk semua tu. Saya nak tidur je.’
Mereka tak tahu yang mereka berpotensi mengalami sakit yang kuat setelah pembedahan. Kadangkala terlalu kuat sakitnya sehingga tak cukup walau dengan Morphin dan kombinasi ubat tambahan.
Pengurusan kesakitan selepas pembedahan adalah amat penting. Sakit lepas bedah (acute pain) jika tak dikawal dengan baik akan menyebabkan kesakitan berpanjangan (chronic pain) walaupun luka bedah dah sembuh.
Ramai tak tahu yang rasa sakit boleh berkekalan walaupun penyakit dah lama sembuh.
Kesakitan berpanjangan (chronic pain) ini lain dari kesakitan biasa. Kesakitan biasa kita boleh nampak penyebabnya (tisu luka, bengkak, patah). Tetapi kesakitan kronik tiada siapa nampak penyebabnya.
Pesakit boleh melompat kesakitan walau tempat berkenaan disentuh dengan perlahan. Kadangkala tak sentuh pun boleh sakit; rasa seperti kulit terbakar, dicucuk jarum atau direnjat elektrik.
Ini kerana yang cedera bukan lagi kulit atau otot, tetapi saraf yang cedera; menjadikannya terlalu sensitif dan rangsangan impuls tak menentu.
Tisu badan yang cedera atau luka, sakitnya mudah diuruskan. Tetapi saraf yang cedera akibat dirangsang kesakitan sekian lama, boleh jadi gila dan sukar nak dirawat.
Contoh kesakitan kronik sering terjadi pada pembedahan berikut; pembedahan sendi, mastectomy (buang payudara), pembedahan hernia (angin pasang), pembedahan thoracotomy (rongga dada) dan juga pembedahan laparotomy (abdomen). Maka eloklah diambil bius tambahan sekiranya ditawarkan.
Kesakitan kronik tak semestinya hanya berlaku pada orang yang dibedah. Penyakit yang melibatkan kerosakan saraf seperti kencing manis juga boleh menyebabkan kesakitan kronik. Kaki yang kebas akibat gula tak terkawal jika tak dijaga paras gula dan dibantu dengan ubat saraf akan mendapat sakit yang berpanjangan.
Ada pesakit kami sampai dapat tekanan perasaan, masalah mental dan kehilangan kerja akibat kesakitan kronik ini. Besar impaknya.
Tulisan saya ini ditujukan secara umum kepada para pembaca dan khas kepada pengamal perubatan supaya lebih cakna. Tindakan proaktif amat perlu untuk mencegah terjadinya kesakitan kronik.
Bak hati yang disakiti, walau penyebabnya dah lama tiada, namun pedihnya kekal sampai bila-bila.
penulis asal Hana Hadzrami
Blogger Comment
Facebook Comment