“Ni kereta siapa?” Saat Bila Seorang DOKTOR Ditahan Polis Peronda Waktu Malam...





Selepas slot lokum habis jam 10 malam. Aku duduk dalam kereta sambil menaip cerita baru untuk di pos ke FB. Tiba-tiba sebuah kereta peronda mendekati dan parkir disebelahku.
Seorang pegawai keluar daripada kereta peronda dan mengetuk tingkap kereta aku, belah pemandu. Tingkap aku turunkan seluasnya.
“Tunggu siapa, encik?” soal pegawai polis berkenaan. Matanya meliar ke sekeliling. Lansung tidak memandang aku.
“Tak tunggu sesiapa.” jawabku.
“Ni kereta siapa?” matanya masih galak meninjau sekitar rumah kedai yang agak gelap ketika ini. Kawasan ini mula sunyi selepas jam 6 petang, kecuali beberapa kedai— warung makan, kedai gunting rambut dan kedai urut.
“Kereta saya. Kenapa ya, tuan?” tanyaku curiga.
“Tak ada apa. Duduk sini atas urusan apa?” balasnya sambil meninjau-ninjau ke dalam ruang kabin kereta aku.
“Saya baru balik kerja.” jawabku.
“Kerja kat mana?”
“Ni, kat klinik ni.” kata ku sambil menuding ibu jari ke premis klinik yang sudah gelap.
“Kerja apa?”
“Doktor.”
“Oh doktor. Boleh doktor keluar daripada kereta?” pintanya sambil memantau sekeliling.
Aku mulai gelabah, tapi aku beri kerjasama. Aku matikan enjin dan keluar dari perut kereta. Seorang lagi pegawai yang tadi duduk di dalam kereta peronda, turut keluar daripada kenderaannya. Jantung aku kencang.
“Buka bonet kereta!” arah pegawai yang pertama tadi. Pegawai kedua berdiri sahaja di sisi kereta peronda sambil pemantau sekeliling.
Bonet kereta aku buka. Stroller. Buku-buku bacaan. Jaket. Itu sahaja. Oh ya, brosur-brosur ubat dan peralatan perubatan yang aku dapat daripada kursus-kursus kesihatan sebelum ini.
Setelah pegawai tadi menyuluh isi bonet kereta aku, dia arahkan untuk tutup.
“Keluarkan dompet” katanya.
Semasa aku keluarkan dompet dari kocek belakang seluar, macam prasangka yang bermain difikiran aku. Mereka ni nak pow aku ke? Ke perompak yang menyamar sebagai pegawai polis?
“Keluarkan IC. ” arahnya lagi.
Aku turuti.
“IC beri saya, dompet letak atas kereta.”
Semakin pelik, namun aku turuti sahaja.
“Kamarul Ariffin bin Nor Sadan” ujarnya.
“Ya! Saya tuan.”
“Depakan tangan.”
“OK” kataku. Ada getar dalam suara. Cuak.
“Maaf, saya nak buat pemeriksaan fizikal.” maklumnya kemudian meraba-raba bahu, ketiak, pinggang, kocek seluar, dalam peha, betis dan buku lali. Terasa privasi aku terganggu. Terasa ternoda diraba-raba. Terasa diintimidasi apabila diperlaku begitu.
“OK, nah IC encik. Terima kasih kerana beri kerjasama.” katanya sebaik sahaja bangan dari tinggungan.
“Itu sahaja?” soalku dengan nada kurang senang. Main serkap jarang je pegawai-pegawai ni.
“Ya. Maaf, kami cuma buat pemeriksaan rutin. Kawasan ni kawasan jenayah.” sampuk pegawai kedua yang dari tadi hanya memerhati.
Tiba-tiba tak jadi nak naik angin apabila teringat apa aku buat setiap hari semasa bertugas.
Aku suruh pesakit buka baju. Kadang-kadang suruh buka seluar. Selak kain. Sentuh ketiak pesakit. Perut pesakit. Kadang-kadang punggung mereka. Suruh mereka kencing dan ambil sampelnya. Ambil X-ray. Ambil darah.
Semua itu menganggu privasi, mengintimidasi pesakit. Namun niat para doktor cuma untuk cari punca masalah kesihatan pesakit, kemudian rawat. Pegawai polis ini sama juga, cuma asbab mereka lakukan itu semua adalah untuk cari punca jenayah dan kemudian banteras.
Semua demi kebaikan bersama.
Jadi, kalau kena tahan polis, jangan marah-marah. Beri kerjasama. Jangan halang mereka lakukan tugas. Kita permudah urusan mereka, mereka mudahkan urusan kita. Kan?
“Selamat bertugas! Kalau nampak penjenayah, kejar. Kalau nampak hantu, lari” selorohku cuba mengendurkan suasana yang tegang.
“Hati-hati bawa kereta, doktor. Tadi saya nampak ada Cik Pon kat seat belakang kereta doktor. Sebab tu kami periksa tadi.” balas salah seorang pegawai seraya melabuhkan punggungnya ke dalam kereta peronda.
Siotlah statement dia orang ni!
“Dompet atas kereta, jangan lupa ambil!” Pesan seorang pegawai lagi sambil senyum sebelum menutup pintu kereta peronda. Setelah itu, kereta peronda itu meluncur pergi, meninggalkan aku keseorangan.
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Si penakut yang menyesal menyakat abang polis
Gambar: Lokasi kejadian. Aku parkir di sebelah klinik, berhampiran lorong belakang deretan kedai.


Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment