Anak menginjak umur 6 atau 7 tahun tetapi masih belum boleh membaca? Situasi ini pasti boleh menimbulkan kerisauan di hati ibubapa terutama apabila kanak-kanak seusia itu sudah tahu membaca.
Anda sudah hantar anak ke tadika, beli pelbagai bahan bacaan dan mengajar anak sejak kecil, namun anak masih belum dapat menguasai kemahiran membaca.
Jangan kecewa atau marah anak anda. Cari solusi, bukan tambahkan lagi masalah. Perhatikan anak anda, lihat jika anak anda ada alami kesukaran berkaitan mengenal huruf, menyebut perkataan, mengeja dan sebagainya.
Jika anak tiada masalah yang serius yang mengganggu perkembangannya, ibubapa boleh teruskan usaha, galakan dan dorongan supaya anak mampu membaca dengan jayanya.
Baca: 10 Idea Rangsang Anak Bertutur Di Rumah, Elak ‘Speech Delay’
Baca: 10 Idea Rangsang Anak Bertutur Di Rumah, Elak ‘Speech Delay’
Tiga perkara yang ibu bapa boleh lakukan apabila berhadapan dengan keadaan ini adalah:
1. Relaks
Anda tidak boleh membina rasa tertekan dalam diri ketika hadapi situasi ini. Perasaan sebegitu boleh mempengaruhi dan dirasai oleh anak.
Jika ibubapa rasa risau dan stres, anak juga boleh merasai perasaan yang sama, sekaligus boleh membantutkan proses belajar membaca anak.
Apabila anak tak mampu kuasai sesuatu peringkat membaca, berkemungkinan anak akan berasa kecewa dan menganggap dirinya gagal. Ibubapa tidak boleh biarkan perasaan seperti itu berlarutan.
Ada baiknya ibubapa bersikap tenang dan beri ruang pada anak. Elakkan terlalu memaksa anak atau mentertawakan anak, dikhuatiri anak langsung hilang minat untuk terus belajar membaca.
2. Hargai Keistimewaan Anak
Setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding adik-beradiknya yang lain, kawan-kawan atau sesiapa pun. Jadi kemampuan dan keupayaannya juga berbeza.
Raikan keistimewaan ini dan elak membandingkan kekurangannya itu dengan orang lain. Kita tak mahu anak bersikap terlalu rendah diri hingga hilang keyakinan diri pula.
3. Kaitkan Bahan Bacaan Dengan Minat Anak
Anak pasti mempunyai minat terhadap sesuatu. Kenal pasti minatnya dan kaitkan proses membaca dengan minatnya itu. Misalnya, anak suka Upin Ipin, boleh dapatkan komik atau buku Upin Ipin di pasaran.
Bahan bacaan yang berkaitan dengan perkara yang anak minat boleh bantu untuk melancarkan proses belajar membaca. Anak akan berusaha untuk belajar memahami karakter atau jalan cerita yang diminatinya.
Aktiviti yang boleh dilakukan oleh anda di rumah untuk bantu anak lancar membaca termasuklah:
1. Labelkan objek di rumah. Baca sama-sama. Selepas seminggu, ubah label ke tempat lain. Minta anak sebut dan baca serta kenal pasti sama ada label tersebut betul atau salah.
2. Siapkan satu kotak yang dihias cantik dan menarik untuk menyimpan kad perkataan yang anak telah berjaya baca dan sebut dengan betul. Hari berikutnya, boleh keluarkan dan tunjukkan semula kad tersebut untuk ulang kaji.
3. Reka kad ala ‘bingo’ dengan menggunakan perkataan yang anak suka.
4. Jika ada kad imbasan yang digunakan sebelum ini, boleh digunakan untuk membina ayat pula dengan menyusun perkataan demi perkataan.
5. Bacakan anak buku-buku yang lucu, mempunyai rima atau perkataan yang berulang-ulang. Bahan bacaan lucu dengan ilustrasi yang berwarna-warni lebih menarik minat anak supaya tidak mudah bosan.
6. Buku mewarna anak boleh dimanfaatkan lebih lagi dengan melabel gambar dalam buku tersebut.
7. Gunting dan tampalkan gambar yang telah diwarnakan dalam buku mewarna ke dalam buku lain atau kertas lukisan. Hasilkan ayat dengan menggabungkan beberapa jenis gambar tadi dan bacakan pada anak.
Tidak dinafikan anak perlu didedahkan dan diajar membaca sejak bayi. Namun usah terlalu memaksa anak di awal usianya kerana ia akan menyebaban anak tertekan.
Ajar secara santai sambil bermain lebih menyeronokkan dan kurang stres! Itulah yang saya lakukan dengan anak saudara sehingga dia boleh kenal huruf di awal usia.
Timbul satu detik saya mula risau apabila dia tidak lancar mengeja dan membaca meskipun sudah usia 6 tahun. Risau sebab dia bijak sehingga boleh menyelesaikan masalah dalam buku. Tapi jika dia tidak tahu membaca arahan, bagaimana?
Alhamdulillah selepas terangkan kepadanya kepentingan membaca dan mahu beri ganjaran sekiranya dia cemerlang dalam peperiksaan Tahun 1, kini dia sudah mampu mengeja dan membaca dengan bimbingan di rumah dan sekolah.
Maka, saya percaya ibubapa perlu berterusan beri galakan kepada anak untuk membaca. Jadikan aktiviti bacaan itu sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan dan sebahagian daripada gaya hidup keluarga.
Suka dan sayang buku, ilmu akan sentiasa disampingmu.
Sumber: thevocket
Blogger Comment
Facebook Comment