Senak perut menahan rasa geram dan amarah. Yang jadi mangsa adalah perempuan perempuan yang akalnya tak panjang. Takde konar konar.
"Macamana kamu boleh mengandung?"
"Saya balik kerja, masa tunggu bas, ada orang datang tarik saya ke dalam semak."
"Awak tak menjerit ke? Takde orang ke dekat situ?"
"Takde sapa sapa masa tu. Berhampiran kawasan pembinaan LRT. Bising. Saya menjerit tapi takde yang dengar. Dia tutup mulut saya."
"Awak balik kerja pukul berapa?"
"Pukul 10.30 malam, malam tu kami kena OT, siapkan kerja, saya sorang sorang balik tunggu bas di hentian bas."
"Lepas dia tarik tangan awak ke dalam semak, apa dia buat pada awak?"
"Dia tutup mulut saya, kemudian dia tolak saya sampai terjatuh, buka seluar saya ."
"Awak tak melawan?"
"Saya tak kuat, dia besar."
Melihat susuk tubuh yang halus dan kecil, memanglah tenaga yang ada tak kuat mana. Tambahan tenaga saki baki seharian bekerja.
"Bila awak tahu awak mengandung?"
"Saya tak tahu saya mengandung. Bulan lepas, saya rasa ada benda bergerak gerak di dalam perut saya. Saya takut. Saya ajak kawan pergi klinik. Doktor terus scan. Nampak janin. Doktor bagitahu dah 25 minggu. Saya menangis, saya tak tahu macamana boleh jadi. Saya telefon ibu, bagitahu. "
"Terus ibu datang. Saya nak balik, duduk di kampung. Abang dan ayah tak bagi. Abang yang carikan rumah perlindungan ini. Emak kata sabarlah, kena kuat , tunggu sampai anak lahir dulu, baru balik kampung."
Sedih bila tak tahu dan tak bersedia untuk jadi ibu. Terpinga pinga. Bila tidak tahu permerkosaan itu salah besar, akibatnya juga sangat besar, beginilah jadinya. Langsung tidak tahu apa tindakan segera harus dilakukan.
Sepatutnya cerita kepada seseorang, pergi buat laporan polis. Bukannya balik rumah, mandi, tidur, buat tak kesah. Buat tak kesah tu sebab tidak tahu. Tidak ada ilmu, tidak ada pengetahuan, tidak ada rasa curiga terhadap keadaan sekitar. Sudahlah waktu malam, kawasan sepi, tunggu bas sorang sorang. Takde rasa cuak atau rasa risau bila sorang sorang, dan tiba tiba di datangi oleh lelaki.
Ambillah pelajaran, ambiklah iktibar. Kita perempuan, jangan jalan sorang sorang, jangan balik lewat malam. Tidak perlu buat kerja lebih masa walaupun dipaksa boss. Bagitahulah keadaan dan kesukaran. Walaupun rumah dekat dengan tempat kerja, jika laluan itu sepi, elakkan. Cari duit lebih hampir nyawa melayang, maruah tergadai. Tapi selalunya bukan cari duit lebih pun, majikan nak tutup akaun, atau ada perkara yang kena dateline segera.
Pada majikan, ambiklah perhatian pekerja anda, tanya dimana mereka tinggal, bagaimana nak pulang jika hari dah malam. Dia ini baru bekerja di syarikat itu. Baru berhijrah ke kota raya dari kampung, masih belum tahu dan faham keadaan.
Senang cerita, di Baitus Solehah sini pun, jika yang datang dari kampung , masuk pagar, takde nak tutup pintu pagar, bila masuk rumah tak tutup grill sebab dia sudah terbiasa di kampung. Dia rasa macam rumah dia, takde rasa cuak atau bimbang apa apa. Takde rasa maruah diri tu sangat berharga, nyawa tu tidak ada galang gantinya.
Jangan kecam perempuan ini kata tak kan dia tak tahu. Saya melihat umurnya baru 18 tahun, bermakna baru benar lepas SPM. Sepatutnya kawan sebaya ada yang sudah sambung pelajaran.
"Keputusan SPM macamana, kamu tidak teruskan belajar?"
"Saya belum pergi sekolah tengok keputusan SPM."
"Zaman ini, jika tak pergi sekolah pun, kita boleh tahu keputusan kita melalui sms, internet bagai."
Lihatlah, keputusan SPM pun dia buat tak kesah untuk tahu apatah lagi lain lain perkara. Sebab tu saya kata dia tak rasa cuak, bimbang atau curiga apa apa. Dia cuma fikir semua orang baik baik belaka. Lurus bendul, takde konar konar fikirannya.
Cumanya mungkin terpengaruh dengan sesuatu, atau atas saranan keluarga supaya berdikari maka dia sanggup ke kotaraya untuk bekerja. Memang di kotaraya dia tinggal bersama kakak. Ada dua orang kakak. Tetapi masing masing bekerja, jadi tak juga berapa kesah hal si adik yang jenis lurus ini. Semua takde rasa cuak dan bimbang atau curiga akan keselamatan diri dan maruah diri. Keluarga percaya lepaskan ke kotaraya sebab ada dua orang kakak boleh tengok tengokkan adik. Tengok boleh tak kan kakak nak eskot pulak. Kakak pun ada kerja masing masing.
Ibu bapa budiman, ibu bapa lebih kenal anak masing masing, sikap, perlakuan, akalnya, maka nak lepaskan anak perempuan bekerja tu, timbang timbangkanlah.
Anak anak perempuan, jangan ambik kesempatan untuk menghancurkan kepercayaan ibu bapa apabila diberi peluang. Jaga diri elok elok, jaga iman, dan jaga maruah. Paling utama jaga solat, jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga kita walau dimana jua. - Muna Liza binti Ismail, Baitus Solehah | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment