Gara-gara terpengaruh dengan kata-kata orang sekeliling, bayi pasangan ini terpaksa menanggung derita yang tidak sepatutnya. Kasihan melihat keadaan anak kecil ini seawal usia bayi sudah melalui peritnya penyakit psoriasis dan difahamkan ia jarang berlaku kepada bayi.
Usah salahkan ibu bapanya, mereka juga tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Jadi, sentiasalah beringat bahawa jika ada sebarang masalah kesihatan, rujuklah pada klinik atau hospital kerajaan. Sesungguhnya mereka memberikan perkhidmatan terbaik yang anda boleh percayai.
Ammar, a little fighter.
Sudah lama nak berkongsi kisah Ammar ini sejak dia sudah sihat. Dulu pernah nak tulis tetapi air mata asyik meleleh sahaja bila melihat keadaan Ammar. Sekarang Alhamdulillah, setiap hari tersenyum melihat Ammar semakin sihat dan aktif. Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Semasa Ammar berusia dua bulan, ada ruam di belakang leher Ammar. Jumpa doktor di KK, katanya ruam biasa sahaja. Doktor beri Calamine Lotion tetapi tak nampak sebarang perubahan.
Tidak lama selepas ayah meninggal (Ammar berusia tiga bulan), ruam Ammar nampak semakin teruk, semakin membesar dan kemerahan. Ammar sudah mula menggaru dan nampak tidak selesa. Kadang-kadang dia menangis sepanjang malam.
Kami berjumpa dengan doktor pakar di klinik swasta. Katanya Ammar ada eczema. Beratus ringgit dihabiskan untuk ubat, tetapi kulit Ammar masih tidak baik. Malah merebak sehingga ke bahagian muka dan tangan. Kulit Ammar semakin kering sehingga menyebabkan luka. Setiap pagi, selalu nampak darah di cadar, sebab Ammar selal menggaru.
Semasa Ammar berusia lima bulan, kamu berjumpa dengan doktor pakar di Klinik Dermatologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh setelah seorang doktor klinik swasta mengarahkan kami terus membawa Ammar ke sana sebaik sahaja melihat keadaan Ammar yang semakin teruk.
Doktor pakar HRPB mengesahkan Ammar ada psoriasis iaitu sejenis sakit kulit kronik dan bersifat autoimun (reaksi dari sistem imun badan). Kulit Ammar akan berganti baru sebanyak 10 kali ganda dari orang normal dan menyebabkan keradangan kulit.
Jarang sekali bayi seusia Ammar mendapat penyakit ini. Doktor yang melihat Ammar juga baru pertama kali merawat kes psoriasis yang melibatkan bayi.
Ammar diberikan ubat yang mengandungi steroid. Selepas dua minggu, kulit Ammar menjadi semakin baik dan Ammar juga sudah mula aktif serta dapat tidur dengan selesa.
Beberapa hari selepas itu, Ammar demam sehingga naik ruam merah di seluruh badannya. Teringat kata doktor di HRPB tempoh hari, demam adalah salah satu punca sakit kulit Ammar akan kembali.
Tetapi orang di sekeliling melarang dari meneruskan ubat hospital kerana ia mengandungi steroid. Banyak kesan sampingan yang buruk, kata mereka.
Tidak mahu memandai-mandai, kami pergi ke klinik swasta berdekatan (bukan pakar kulit) dan doktor itu juga melarang menggunakan ubat steroid. Sebaliknya dia mencadangkan ubat natural di mana bahan utamanya adalah madu. Doktor berkenaan juga mencadangkan rawatan sonotron sebanyak tiga kali seminggu.
Jadi keraplah kami ke sana, berhabis duit. Tetapi keadaan Ammar semakin teruk. Kami ada juga mencuba rawatan yang lain seperti homeopati dan darussyifa sehingga pergi ke Kuala Lumpur pun ada. Bermacam-macam produk kulit dibeli, tetapi semuanya tidak menampakkan kesan yang positif.
Akhirnya kami pergi ke klinik di Tanjung Tualang (bukan pakar kulit tetapi tulis untuk kulit), setelah terlalu ramai orang menyarankan kami ke sana.
Doktor klinik tersebut memberi ubat sapu yang diperbuat dari herba (tetapi label pada ubat telah dibuang). Pada mulanya nampak baik, tetapi lama-kelamaan keadaan Ammar menjadi semakin teruk dalam masa yang sangat singkat.
Bila kami kembali ke klinik, doktor itu kata biasalah dia keluarkan penyakit. Lama-kelamaan akan baik. Tetapi keadaan Ammar langsung tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih. Sakitnya merebak sehingga hampir 90% seluruh badan sehingga ke kuku dan tapak kaki serta tangan. Nanah juga sudah mula kelihatan pada luka-luka di kulit Ammar.
Kami terus membawa Ammar ke Klinik Dermatologi HRPB. Ketika itu Ammar berusia 9 bulan. Ammar terus dimasukkan ke wad, diberikan ubat antibiotik kerana sudah ada jangkitan kuman. Keadaan Ammar sangat menyedihkan.
Ammar semasa berada di wad. Sudah sapu pelembap menyebabkan kulitnya kurang bersisik. Perlu sapu pelembap setiap 1-2 jam sebab kulit Ammar sangat kering. |
Untuk mengambil darah di tangan Ammar juga sangat sukar kerana sudah tidak kelihatan salur darah akibat keadaan kulitnya yang sangat teruk. Malah doktor terpaksa mencari-cari kawasan kulit yang masih elok sebab kawasan yang lain sudah bernanah.
Sebelum Ammar dibawa ke hospital. Sudah hampir 1 badan sampai susah nak cari kawasan kulit yang elok. |
Anggota badan yang lain turut terjejas. Kulit di sekitar mata Ammar juga sangat kering menyebabkan kelopak matanya tersembul keluar. Begitu juga dengan telinganya sudah mendapat jangkitan.
Kaki sangat kering dan bernanah. Kulit dan kuku dah melekat sampai jadi keras. |
Banyak sekali ubat yang Ammar terpaksa makan sehingga dia fobia untuk membuka mulut sekalipun untuk makan nasi. Ammar hanya mahu menyusu badan ketika itu. Berat badan Ammar semakin merosot. Tangan dan kakinya semakin kurus. Tingginya tidak bertambah. Rambut bulu mata kening semuanya gugur dan tidak tumbuh. Muka Ammar menjadi bengkak dan keras.
Luka di bahagian punggung menyebabkan Ammar mengalami kesakitan setiap kali kencing dan berak. Ramia yang menangis melihat keadaan Ammar pada ketika itu.
Selepas beberapa hari di wad. |
Ammar duduk di wad selama 28 hari. Kulit Ammar baik sedikit tetapi masih belum pulih kerana tiada lapisan epidermis kulit. Ammar mudah dijangkiti kuman, mudah demam, kulitnya menjadi teruk semula. Kitaran ini berlarutan selama lebih dari tujuh bulan.
Alhamdulillah, kulit Ammar pulih ketika usianya satu tahun empat bulan (Februari 2017). Ammar juga sudah kurang demam dan jika demam sekalipun, kulitnya masih normal. Rambut, bulu mata dan kening juga sudah mula tumbuh. Malah dia sudah mempunyai selera untuk makan.
Alhamdulillah, semua ini adalah hasil usaha semua, baik dari pihak kami mahupun pihak hospital. Ini adalah hasil doa semua, doa ibu bapa kami, ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menyembuhkan.
Pengalaman bersama Ammar ini sebenarnya membuka mata kami untuk mempercayai rawatan hospital kerajaan. Kami mula membaca dan mengikuti tulisan para doktor di Facebook. Kalau ada yang bertanya kapda saya selepas ini tentang siapa-siapa yang berpanyakit dan mahu mendapatkan rawatan di mana, pasti saya akan jawab, "Pergilah ke hospital kerajaan". Berjumpalah dengan mereka yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut.
Janganlah kita mementingkan diri dengan memburuk-burukkan hospital kerajaan semata-mata mahu melariskan produk sendiri. Kerana jika sakit itu semakin teruk, yang menjual produk tidak akan bertanggungjawab sama sekali.
Ammar sekarang |
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat Ammar dari HRPB Ipoh. Mereka melayani kami dengan sangat baik dan lembut. Sentiasa memberi kata-kata peransang agar kita tidak berputus asa.
Juga terima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendoakan Ammar selama ini. Terima kasih suami, mama, abah dan keluarga yang tidak jemu-jemu menjenguk Ammar selama berada di wad, yang sama-sama membantu menjaga Ammar. Doakan Ammar terus sihat, ceria dan aktif.
Nota tambahan:
- Bil hospital selama 28 hari = RM150 lebih kurang. Sangat murah!
- Bayaran setiap kali ke klinik pakar HRPB = RM5 sahaja
Sumber: Puan Sharihana Abd Halim
Blogger Comment
Facebook Comment