Sendiri telefon JAWI, sendiri suruh tangkap - Peguam Syarie kongsi perkembangan kes pasangan saman JAWI


SHAH ALAM, SELANGOR - Pasangan suami isteri yang memfailkan saman terhadap Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas tuduhan menyerang dan menangkap khalwat mereka secara salah pada Januari lalu, dikatakan telah menghubungi sendiri JAWI mengadu kejadian khalwat tersebut, lapor Malaysian Digest.

Peguam Syarie, Mohd Iz'aan Azalan dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkata, Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, mengaku berbuat demikian di hadapan hakim Mahkamah Syariah Shah Alam. 

"Dalam pertuduhan yang dibacakan, pasangan ini telah melakukan kesalahan tersebut kerana telah membuat panggilan ke talian hotline JAWI dan membuat aduan tentang wujudnya pasangan yang sedang berkhalwat, sedangkan pasangan yang diadukan itu adalah pasangan itu sendiri. 

"Dengan kata lain, pasangan itu membuat laporan palsu tentang berlakunya jenayah khalwat," katanya. 

Sebelum ini, Mohd Ridhuan dan Siti Sarah mendakwa JAWI telah menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh hotel yang didiami mereka pada jam 1.30 pagi, 8 Januari lalu. 

Dalam insiden itu, Ridhuan memaklumkan isterinya tidak berpakaian lengkap sebelum anggota JAWI menyerbu masuk ke dalam bilik hotel dan berlaku sedikit pergelutan di antara mereka. 

17 Februari kemudian, pasangan itu memfailkan saman terhadap JAWI kerana menangkap mereka secara salah dan menceroboh privasi mereka biarpun sudah menunjukkan gambar sijil perkahwinan mereka kepada pegawai JAWI pada hari kejadian. 

Mohd Ridhuan dan Siti Sarah dibicarakan mengikut Seksyen 7(c) Akta Kesalahan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana memburukkan imej JAWI.

Jelas Mohd Iz'aan lagi, pasangan itu bagaimanapun belum disabit kesalahan dan perbicaraan itu merupakan hari pertama pasangan itu didakwa di mahkamah. 


Berita berkaitan:

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment