Sewaktu berkhidmat di kelantan, saya mengenali Abe Ya atau Zakaria sebagai pegawai keselamatan dan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abe Loh sebagai pemandu kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz.
Saya sebenarnya sudah lama terfikir untuk menemui kedua-dua insan ini kerana mereka berpeluang berkhidmat dengan Tuan Guru. Bukan sekejap perkhidmatan mereka tetapi belasan tahun lamanya. Sudah pasti kalau saya ingin menulis, pasti banyak cerita menarik yang dapat saya coretkan daripada pengalaman mereka.
Saya ingin kongsikan sedikit pengalaman bersama Abe Loh. Sungguh bertuah Abe Loh kerana tempat tinggalnya berdekatan dengan kediaman Tok Guru di Pulau Melaka. Siapa yang mengenali Abe Loh ini tentu tahu perwatakannya yang lemah lembut dan suka senyum. Apa yang saya selalu tanya Abe Loh sewaktu menemuinya ketika menghantar Tok Guru ke mana-mana majlis ialah tajuk tazkirah yang disampaikan oleh Tok Guru di dalam kereta.
Tok Guru pernah beritahu saya, beliau tidak banyak tidur pada waktu malam. Oleh sebab itu Tok Guru biasanya ambil kesempatan untuk lelap seketika sewaktu dalam kereta menuju ke sesuatu majlis terutama yang jauh jaraknya. Jika Tok Guru tidak tidur, maka berpeluanglah pemandu dan pengawal keselamatan mendengar tazkirahnya.
Itu pengalaman biasa dengan Abe Loh. Pengalaman luar biasa berlaku apabila saya terserempak kereta rasmi Tok Guru yang sedang diletakkan di luar sebuah bangunan di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Saya lupa akan nama bangunan tersebut. Tetapi yang masih ingat di situ ada mesin ATM GIRO.
Kebetulan pada masa yang sama, saya ke sana kerana ingin mengeluarkan sejumlah wang. Kalau tidak salah pada waktu itu gaji belum masuk. Rupa-rupanya Abe Loh juga ingin mengeluarkan wang. Disebabkan hanya kami berdua sahaja yang ingin melakukan urusan tersebut maka sempatlah untuk saya bertanya khabar.
Saya beri peluang kepada Abe Loh untuk mengeluarkan wang terlebih dahulu manakala saya berdiri di belakangnya. Tidak berapa lama Abe Loh menoleh ke arah saya sambil tersenyum dan menyuruh saya mengambil giliran. Saya perasan beliau tidak mengeluarkan wang daripada mesin itu. Dia kemudian terus membuat panggilan kepada seseorang.
Selesai urusan saya, sempat kami berbual seketika, Rupa-rupanya Abe Loh diamanahkan untuk mengeluarkan sejumlah wang oleh Tok Guru daripada akaun Gironya untuk dikirimkan pada salah seorang anaknya yang sedang belajar di luar negara. Kalau tidak salah saya, anaknya itu adalah Nik Mohamad Abduh.
Jumlah yang diperlukan bukanlah banyak mana pun. Hanya lebih kurang jumlah yang saya belanjakan untuk beli susu jenis Bebelac untuk anak saya, Muhammad Alif Ameer yang berusia 4 tahun pada ketika itu. Tidak sampai pun RM 400.
"Duit tak cukup..." Kata Abe Loh spontan lalu tersenyum.
"Tok Guru royat gapo tadi bila tahu pitih tak cukup...?" soal saya.
"Semula.... Tunggu gaji." kata Abe Loh.
SubhanALLAH....Seorang yang berstatus Menteri Besar, yang memimpin sebuah kerajan negeri perlu menunggu wang gaji untuk menghantar belanja kepada anaknya.
Mungkin perkara ini hanya berlaku kepada orang biasa sahaja. Tidak mungkin berlaku kepada seseorang yang sama pangkatnya seperti Tok Guru. Tetapi inilah hakikat yang berlaku dan saya menyaksikan sendiri. Mungkin Abe Loh masih ingat peristiwa ini.
Atas sebab inilah, saya tidak pernah susah hati jika tidak ada duit untuk berbelanja. Ini kerana saya sudah menjumpai insan hebat hafal al-Quran pun pernah tidak berduit.
Setakat saya ini, yang hanya hafal beberapa ayat-ayat lazim, itupun yang pendek-pendek, apa nak dihairankan kalau ALLAH bagi rezeki sedikit. Yang peliknya, ada orang yang mempunyai duit berjuta-juta tetapi masih lagi berasa tidak cukup. Maka bersyukurlah.
via Bin Usrah
Blogger Comment
Facebook Comment