Cerita sebenar kanak-kanak yang didakwa ditinggalkan & didera sehingga patah kaki


KOTA KINABALU, SABAH - Beberapa hari yang lalu, viral di media sosial gambar seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa dibiarkan di hospital tanpa ditemani oleh ibu bapanya, mencetus rasa simpati dan pelbagai reaksi dari netizen. 

sumber terbabit mendakwa, jururawat di Hospital Likas memaklumkan kepadanya bahawa kanak-kanak itu berada di situ sejak 2 Februari lalu dan kononnya ibu bapanya sudah tidak mahu kanak-kanak berkenaan. 

Sumber yang sama turut mendakwa doktor memaklumkan kanak-kanak itu ditinggalkan dan didera sehingga patah kaki, serta kes sudah diuruskan dan diambil oleh pihak kebajikan. 

Ekoran tersebarnya perkara itu, ramai yang mendoakan agar kanak-kanak itu cepat sembuh dan tidak kurang juga yang mencaci maki ibu bapanya. 


Semalam tampil adik kepada bapa kanak-kanak berkenaan, Jurol Magindo, menjawab segala dakwaan sumber yang tidak berasas itu dan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. 

Baca penjelasan dari Jurol Magindo di bawah:

Terlebih dahulu, saya bagi pihak keluarga Encik Julidi Magindo, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang amat prihatin dengan situasi yang mereka hadapi pada waktu ini sehingga berniat untuk memberi sumbangan ikhlas bagi meringankan bebanan mereka. 

Secara peribadi, menjaga anak yang terlantar di hospital selama satu tahun lebih dan masih berterusan sehingga ke hari ini bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi bila tersepit dalam masalah kewangan serta kos sara hidup yang kian meningkat.

SEDIKIT PERKONGSIAN MENGENAI ANAK KEMBAR HERMY & HEMRY SERTA KELUARGANYA

Anak kembar ini telah dilahirkan pada 04 September 2015 di Hospital Likas, Kota Kinabalu. Hermy kurang bernasib baik berbanding kembarnya, Hemry. Setelah dilahirkan, doktor mengesahkan bahawa tiada saluran usus menuju ke perut dan menyebabkan Hermy mempunyai kesukaran untuk menyusu. Doktor telah menjelaskan bahawa bahagian perut Hermy akan dibedah untuk membuat satu saluran bagi memudahkan makanan akan terus masuk ke bahagian perut HERMY. Sehingga kini, saluran tersebut memainkan peranan penting bagi menyalurkan bekalan makanan ke bahagian perut Hermy. 

Doktor juga akan membedah satu lagi bahagian bagi menyambungkan saluran trakea ke perut Hermy agar makanan boleh disalurkan kelak dari bahagian mulut tapi dengan syarat setelah hermy mencapai berat yang ditetapkan iaitu 2 kilogram. Untuk mencapai berat tersebut, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan singkat. Ianya mengambil masa yang lama. Apatah lagi, hanya susu sahaja bekalan makanan yang dapat diberikan kepada Hermy.

Julidi adalah bapa kepada Hermy dan kembarnya Hemry, serta anak sulung yang bersekolah di SK. Tandek. Beliau bekerja sebagai tukang kebun di SMK Tandek pada awalnya. Beliau selalu tidak dapat hadir bekerja kerana menjaga anaknya di Hospital Likas. Teguran demi teguran terpaksa diterima, seakan-akan dia ponteng dengan sengaja. Lalu, beliau terpaksa berhenti kerja. Beliau mengambil ikhtiar untuk mencari kerja yang berhampiran di Hospital Likas dengan penuh harapan, sentiasa dapat melawat dan menjaga anaknya yang terlantar di hospital. 

Tetapi semua perancangan tidak seperti yang dinginkan akan berlaku, tidak semanis seperti yang kita harapkan. Beliau bekerja sambilan di sebuah 'car wash' berhampiran. Siang berkerja, malam pula dia menjaga anaknya. 

Setelah beberapa lama, pihak hospital telah menasihatkan agar beliau perlu memberi perhatian dan menjaga anaknya pada setiap masa. Akhirnya dia akur, waktu siang dia sekali sekala datang melawat anaknya. Perkara tersebut menimbulkan perasaan kurang baik dari majikannya dan banyak gajinya yang telah dipotong. Akhirnya dia berhenti kerja.

Hari demi hari berlalu. Masalah demi masalah terus timbul, cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi. Dengan bebanan masalah kewangan yang kian menghimpit mereka, membuatkan hidup mereka semakin tertekan. Walaupun ahli keluarga terdekat seringkali menghulurkan bantuan, namun itu tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan mereka. Anak dan isteri baru bersalin yang kini berada di kampung juga memerlukan perbelanjaan setiap hari. Menyekolahkan anak sulung mereka lagi satu hal yang lain. Semuanya memerlukan kos.

Beberapa bulan kemudian, setelah Hemry dibedah untuk menyambungkan saluran bahagian trakea ke perut, dia pun boleh pulang ke rumah. Mereka akan hadir temujanji ke Hospital Likas setiap minggu dalam tempoh beberapa bulan. Cuba anda bayangkan, cabaran yang mereka hadapi. Kos perbelanjaan setiap minggu, sedangkan Julidi hanya kerja kampung sahaja sekarang. Jika beliau mungkin kakitangan awam sekalipun, bergaji besar contohnya, pasti masalah kewangan turut dihadapi kerana kos perbelanjaan yang tinggi. Itu belum lagi termasuk bayaran bil air, bil elektrik, bil astro, keperluan dapur, bayaran ansuran motosikal yang tertunggak beberapa bulan kerana tiada pendapatan yang tetap seterusnya bagi menampung setiap kos perbelanjaan mereka sekeluarga.

Dipendekkan cerita, Hermy terkena sawan akibat demam panas yang sangat kuat. Setelah dihantar ke hospital semula, Doktor telah mengesahkan bahawa terdapat jangkitan kuman di bahagian otak Hemry menyebabkan bahagian otaknya berair dan perlu dibedah. Paru-parunya juga ada masalah, dijangkiti “tuberculosis” iaitu sejenis kuman yang biasa kita panggil sebagai TB. Situasi ini sekali lagi menguji ketabahan mereka sekeluarga. 

Akhirnya sekali lagi Hermy ditahan di Hospital Likas. Cerita ini terlalu panjang dan ini hanya seperempat daripada keseluruhan ceritanya dan ada juga bahagian yang terlalu sulit untuk dikemukakan melainkan anda sendiri yang berjumpa dengan ibu bapa Hemry bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Hampir setahun lebih, satu liku kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan. Itu bukanlah sesuatu yang mudah. Minggu lepas, ketika Julidi balik dari Hospital Likas, beliau terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal dan mengalami kecederaan kecil di beberapa bahagian badan. 

Paling menyedihkan lagi, ada satu berita yang telah tersebar di media sosial seperti Facebook dan Whatsapp  kononnya Hemry dibiarkan di hospital dan tidak dipedulikan ibu bapa dan sebagainya. . Bagi pihak keluarga Julidi, saya beranggapan bahawa tuduhan tersebut amat tidak bertanggungjawab dan benar-benar mengaibkan keluarga ini. Hal ini mereka tidak ketahui kerana tidak mempunyai akaun Facebook, hanya WhatsApp sahaja tetapi kurang aktif. 

Saya selaku adik beliau yang menerima berita ini telah menghubungi mereka dan memaklumkan perkara tersebut. Kini, mereka semakin tertekan dan mengalami gangguan emosi. Sekali lagi, saya memohon dan merayu agar berita fitnah ini tidak lagi disebarkan tanpa usul periksa. Hanya orang yang pernah hidup susah sahaja yang akan memahami situasi yang mereka hadapi ketika ini. 

Orang tua yang manakah sanggup mencederakan anak sendiri? Jika ada sekalipun, keluarga kami tidak tergolong dalam golongan itu. Persoalan lain akan dijawab setelah laporan polis dibuat pada keesokan hari.

Akhir sekali, saya bagi pihak keluarga Julidi merayu agar lebih ramai lagi pihak yang akan tampil bagi menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan bebanan yang mereka hadapi ketika ini. Berikut merupakan maklumat akaun mereka seandainya ada pihak yang bersimpati dan ikhlas untuk menghulurkan sedikit bantuan;

JULIDI MAGINDO
NO. ACC BSN: 1211841000028985
NO TEL: 014-8602561

Sekian dan terima kasih.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment