KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ary Malik disahkan meninggal dunia pada pukul 7.17 malam tadi, menurut suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46.
"Saya berasa satu kehilangan besar kerana dia merupakan isteri yang sangat penyayang dan menjadi kesayangan ramai.
"Saya hilang sesuatu yang besar dalam hidup saya," ujar Shahrul Nizam dalam pesanan ringkas kepada media.
Dia yang mengakui banyak belajar tentang kehidupan bersama Ary, turut memberitahu bahawa anak-anak mereka masih dalam keadaan bersedih dan terkejut.
"Mereka sudah mula rindu dan berasa ketiadaan ibu mereka sewaktu arwah dimandikan," katanya.
Shahrul Nizam juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah yang disampaikan kepada mereka sekeluarga.
Sebelum ini, Ary dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Hospital Ampang akibat kanser ovari tahap empat.
Ary dimasukkan ke hospital itu pada 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah namun dia mula tidak sedarkan diri sejak Selasa lalu.
Ary sudah mengesan penyakitnya itu sejak hampir setahun lalu, dan pernah menjalani pembedahan pada bulan Mei tahun lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.
Doktor sebelum ini turut mengesyaki barah yang dihidap Ary merebak ke bahagian kepala.
Hasil perkongsian hidup dengan Shahrul Nizam, Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Abdul Malik, 46, dikurniakan tiga orang anak – Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.
Jenazah Allahyarham tiba masjid di Kem Wardieburn, Setapak dekat sini dari Hospital Ampang kira-kira pukul 8.30 malam untuk dimandi dan disembahyangkan.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibukota dan selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.40 pagi Rabu.
Antara rakan-rakan artis yang kelihatan ialah Ako Mustapha, Rizman Khuzaimi, Erma Fatima, Elly Suriati dan Fizz Fairuz.
Blogger Comment
Facebook Comment