SERDANG - Susulan teguran dari Pencetus Ummah (PU) Syed berhubung peraduan Teka Berat Lembu Sado viral di media sosial, pihak peserta Maha 2016 terbabit tampil memberikan penjelasannya.
Menurut wakil Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Haji Nordin Mat, peraduan itu diadakan agar pengunjung dapat datang ke laman ternakan mereka kerana lokasi mereka berada di kawasan yang agak kebelakang. Jadi, dengan adanya peraduan itu, maka lokasi itu dapat menjadi lebih meriah.
Dalam pada masa yang sama, GTR mahu memaklumkan kepada umum bahawa lembu sado mempunyai nilai yang tinggi dan mahu lebih ramai lagi penternak membela lembu baka seperti ini bagi tujuan pembiakan.
"Memang ramai nak kondem kata ini judi dan sebagainya, walhal mereka tidak pernah peduli nasib penternak ruminan selama ini. Bagus juga isu ini diviralkan dan kami akan tampil ke hadapan bahawa lembu ini telah ditaja oleh ahli kami dan tidak menggunakan wang peserta.
"Untuk pengetahuan, kelab GTR hanya mengenakan yuran penyertaan RM1 seumur hidup dan penglibatan kami dalam MAHA tidak diberikan dana walau satu sen. Kami terpaksa mencari dana sendiri lebih RM150,000 untuk menganjurkannya," katanya.
Mengulas mengenai dakwaan peraduan berunsur perjudian, GTR menafikan dan menyatakan bahawa kutipan wang penyertaan itu adalah untuk dana Tabung Bencana PEnternak GTR.
"Peraduan ini bukan cara kami untuk mencari dana kelab ini sebab tak berapa banyak pun kami perolehi berbanding kos keseluruhan kami. Malah semua kutipan yuran penyertaan itu akan dimasukkan ke dana Tabung Bencana Penternak GTR bagi membantu ahli yang dilanda bencana seperti banjir dan lain-lain seperti sebelum ini," jelasnya.
Walau bagaimanapun, pihaknya tidak mahu bedebat dengan sesiapa mengenai hukum hakam dan menerima bersedia menerima teguran mana-mana pihak.
Dalam masa yang sama, pihak GTR juga kesal dengan tindakan PU Syed yang menviralkan perkara itu di Facebooknya, berbanding mendapatkan penjelasan mereka terlebih dahulu.
Justeru, Nordin berharap, orang ramai menyokong usaha kelab GTR bagi memperkasakan fardhu kifayah menternak kambing dan lembu agar dapat memenuhi keperluan ibadah umat Islam di negara ini. - The Reporter
Artikel berkaitan:
Blogger Comment
Facebook Comment