"Tak tahu apa masalah dia.. alasan tak masuk akal" - Hana Dedah Watie Masih Tak Bayar Hutang

 
Umum mengetahui, bekas anggota Elite iaitu Hana dan Watie mempunyai masalah tentang hutang.

Soal tuntutan hutang antara mereka berdua ini masih belum selesai apabila Watie didakwa gagal membayar sesen pun wang berjumlah RM112,000 kepada Hana seperti diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada Oktober tahun lalu.

Hana memberitahu Watie memberikan alasan kononnya tidak mengetahui keputusan itu sebagai punca tidak melunaskan hutang tersebut.

Ini pendedahan Hana:

"Sehingga ke hari ini saya masih belum menerima sebarang bayaran seperti mana diperintahkan pihak mahkamah sejak Oktober tahun lalu.

"Saya sendiri tidak tahu apa masalah dia (Watie) tidak mahu membayar hutang tersebut.

"Alasan dia tidak tahu mengenai perintah tersebut memang tak masuk akal,"

Pada Oktober tahun lalu, Watie Elite diperintah membayar RM112,000 melalui Jabatan Insolvensi bagi memadamkan nama Hana yang disenarai hitamkan.

Jumlah itu perlu dilunaskan dengan bayaran permulaan sebanyak RM99,500 sebelum atau pada 30 November tahun lalu dan baki sebanyak RM2,500 sebulan bermula Januari sehingga Mei 2018 perlu dibayar secara berperingkat.

Keputusan itu dibuat selepas Watie dikatakan tidak mampu membayar tuntutan saman penghakiman berjumlah RM707,351.81 yang diperintahkan mahkamah sama pada 10 Mac 2015.

Ganti rugi itu diperoleh selepas Hana mendapat kemenangan menerusi tuntutan berhubung kegagalan Watie melunaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Hana memberitahu, Watie yang menggunakan kereta itu gagal membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak dari September 2010.

Akibatnya, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan tidak boleh ke luar negara.

Dalam pada itu, Hana berkata, keengganan Watie membuat pembayaran itu juga menyebabkan proses membersihkan namanya daripada senarai bankrap juga terganggu.

Atas dasar itu juga, Hana berkata, dia tidak teragak-agak untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan haknya dibela.

Ini dedah Hana lagi:

"Saya difahamkan oleh peguam pihaknya juga ada melantik peguam dan saya sendiri akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sekiranya dia tetap berdegil bagi mendapatkan hak saya,"

Sementara itu, peguam Hana iaitu Samir Zainal memberitahu pihaknya akan cuba menyelesaikan perkara itu dengan Watie sebelum sebarang keputusan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.

Sumber: mStar
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment