Remaja 14 tahun parah dibelasah perompak


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar tingkatan dua parah dibelasah perompak yang masuk rumah keluarganya di Kampung Masjid Bangi, Kajang, semalam, lapor Berita Harian

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, Syazana Amirah Asshaari, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, retak tengkorak kepala, patah rahang selain patah empat batang giginya dan juga lebam di pipi dan leher. 

Difahamkan, mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Ketika kejadian itu berlaku, mangsa tinggal bersendirian di rumah dan perompak dipercayai masuk ke rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, kejadian itu hanya disedari oleh ibu mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci, pulang ke rumah kira-kira jam 11.15 pagi selepas menemui anaknya terbaring dengan keadaan berlumuran darah di katil di dalam biliknya. 

"Pengadu (ibu mangsa) yang memeriksa rumah itu turut mendapati dua telefon bimbit dan dompet miliknya hilang. Dia kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek. 

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment