'Kenapa abang buat semua ni? Sedangkan adik beradik yang lain ada kan ada?'


Suami saya tak kaya, rumah pun masih menyewa. Kereta pun, kereta Perodua Myvi sahaja. Tetapi bila balik kampung, dialah yang bersungguh-sungguh buat itu ini. Adik beradik yang lain ada, boleh dikatakan semuanya lebih senang daripada kami. Tetapi itulah, nak kata pun tak kena. Diorang buat tak tahu saja. Sibuk dengan hal masing-masing. 

Semalam sebelum salam. saya beranikan diri bertanya pada suami. 

"Kenapa abang nak buat semua itu? Beli air minuman (rumah mak tak ada Coway), beli beras, beli barang-barang basah, beli juadah berbuka, pergi buang sampah, basuh tandas, basuh pinggan bagai. Sedangkan adik beradik abang yang lain mana? Tak collect pun duit, tak buat apa-apa pun," kata saya pada suami. 

Suami hanya diam saja. Saya tahu, pertanyaan saya ini mungkin kedengaran agak kasar tetapi saya tidak mahu adik beradik dia mengambil kesempatan di atas kelurusan diri dia. 

Agak lama dia mendiamkan diri. Kemudian dia memandang saya dan berkata,

"Abang tak kaya, balik pun sekali sekala. Nak bagi banyak-banyak memang abang tak mampu. Apa yang abang ada inilah. Tulang empat kerat yang masih ada kudrat. 

"Abang tahu, awak mesti berasa pelik dengan perangai adik beradik abang kan? Entahlah, abang nak betulkan pun, nak tegur, mereka semua dah besar panjang. Abang tak mampu. Biarlah abang betulkan diri abang sendiri, buat apa yang mampu. Biar raya ini semua gembira, biarpun abang terasa letih sedikit," katanya. 

Saya dengar saja apa yang dia katakan. Saya akui memang dia seorang yang baik. Mudah untuk meminta tolong tanpa banyak membantah. 

"Lagipun abang kasihankan mak. Masa abang bersihkan bilik mak semalam, abang kutip rambut-rambut dia yang gugur. Banyak juga dan semuanya rambut putih. 

"Abang masuk ke tandas bilik mak, abang nampak gigi palsu mak. Rupa-rupanya mak dah pakai gigi palsu. Abang tak tahu pun," sambungnya lagi. 

Percakapannya sudah mula tersangkut-sangkut. Bicaranya mengandungi perasaan sebak. 

"Kalau abang tak boleh bagi mak duit yang banyak, biarlah mak rasa senang dengan kehadiran abang. Redha dengan abang, itu pun dah cukup," katanya. 

Saya menangis, tak tahu nak kata apa. Saya pegang tangan dia, saya salam dan kucup. Saya minta maaf di atas soalan yang saya tanyakan itu tadi. 

Semasa saya mendakap dia, dia berkata, 

"Abang harap anak-anak kita nanti pun akan buat benda yang sama pada awak. Jaga awak, hormati awak, sayang awak, macam apa yang abang buat pada mak," katanya lagi. 

Ya Allah, ampuni saya dan rahmatilah dia. 

Sumber: Kakzz, Viral oh Viral
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment