Kejutkan anak dari tidur, tak bangun-bangun rupanya sudah meninggal dunia


Saya paling hiba kalau ada ibu bapa yang tolak vaksin untuk anak-anaknya. Baru-baru ini saja pun, ada kes seorang ibu berusia 40 tahun yang hilang dua orang anaknya serentak akibat difteria. Penyakit  ini boleh dielakkan jika majoriti ibu bapa di Malaysia bersatu untuk melindungi anak masing-masing dengan vaksin.

Pada mulanya, si abang yang berumur dua tahun yang meninggal dunia. Seminggu selepas itu, adiknya yang berumur 11 bulan pula meninggal dunia. Sudahlah meninggal dunia dalam diam saja. Kejutkan dia dari tidur, tak bangun bangun. Rupa-rupanya  sudah meninggal! Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.

Bayangkan seorang ibu yang terpaksa menanggung kesedihan yang amat dahsyat ini. Bagi seorang ibu, tiada kesedihan yang lebih dahsyat dari kematian si anak. Kalau kematian suami, biasanya perempuan boleh tanggung lagi sebab suami diikat dengan ikatan akad sahaja. Kesedihan bila melibatkan kematian anak ini adalah jauh berbeza kerana anak ini diikat dengan ikatan darah dan daging si ibu itu sendiri.

Bayangkan kesalahan itu sebenarnya ditanggung oleh golongan ibu yang tidak mahu menvaksikan anak-anaknya hanya kerana lebih percayakan 'Doktor Google' dan 'Doktor Facebook'. Penyakit dahsyat ini kembali merebak dengan laju di dalam negara kita ini berpunca daripada golongan ibu yang tidak mahu vaksinkan anak-anaknya. 

Semakin sikit anak yang tidak divaksin dalam suatu komuniti, maka semakin cepat sesuatu penyakit itu meletus (outbreak). Selama ini saya cuma jumpa penyakit ini di Indonesia sahaja. Belum pernah lagi dengar kes difteria di Malaysia sebelum ini. 


Saya bukan apa, saya pernah menyaksikan sendiri betapa seksanya pesakit yang terkena penyakit difteria ini. Cuba tengok komplikasi yang boleh muncul daripada difteria ini.
  • Saluran pernafasan boleh tertutup. Anak kita boleh mati sebab sesak nafas. Mati sesak nafas adalah mati yang perlahan-lahan dan sangat kejam! (Airway blockage)
  • Bila benda putih (pseudomembrane) dalam tekak itu tiba-tiba terjatuh dan tertelan, racun di dalamnya boleh merosakkan otot jantung anak kita (myorcarditis)
  • Selepas itu, boleh terjadi juga kerosakan saraf (neuropathy)
  • Anak kita juga boleh terkena jangkitan paru-paru (pneumonia).
Sebab dalam selaput putih itu ada toksin yang sangat-sangat mengancam nyawa si comel bila tertelan. Boleh jadi masa anak itu sedang tidur, selaput itu tiba-tiba meluncur turun. Sangat berbahaya!


Tolong, tolong sangat pada ibu bapa yang ada anak yang belum divaksinkan secara sempurna, tolonglah sempurnakan vaksin mereka. Jangan percaya pada Google atau internet kerana yang merawatnya adalah kami, para doktor. Kerana yang menyaksikan kematian mereka adalah kami, para doktor. 

P/S: Anak yang tidak divaksin akan terdedah dengan penyakit yang mengerikan seperti batuk kokol.batuk seratus hari (pertussis), kancing gigi (tetanus), campak, demam kepialu (typhoid fever), jangkitan pada otak (meningitis) dan bermacam-macam lagi penyakit yang mematikan. Tolong ingatkan keluarga kita yang lain juga ya. 

#LengkapkanImunisasi
#Janganlupacucuk

Sumber: Doktor Taufiq Razif
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment