KUALA LUMPUR - Warga Masak Apa Hari Ni (MAHN) terkejut dengan perkongsian seorang ahlinya yang menyatakan dia telah memakan ikan Flower Horn, mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
"Okeylah rasa dia macam ikan talapia," tulisnya jam 5.57 pagi tadi.
Ramai yang mempersoalkan, apakah ikan Flower Horn yang dikategorikan sebagai ikan perhiasan bernilai ratusan ringgit itu boleh dimakan? Ada yang terliur, tidak kurang juga yang rasa kembang tekak.
Bagi individu yang dinamakan sebagai M.A, dia tidak tahu sama ada ikan perhiasan itu boleh dimakan atau tidak, tetapi dia tidak mengalami sebarang masalah selepas makan ikan tersebut.
"Awat tak boleh makan ka? Cheq telan dah, kenyang dah," katanya.
Ramai netizen yang mula mempertikaikan sama ada boleh atau tidak makan ikan flower horn, menyebabkan lelaki itu mula rasa resah dan bimbang, apakah tindakannya memakan ikan perhiasan itu selamat atau tidak? Dalam penjelasannya kepada netizen, dia menyangka semua spesis ikan boleh dimakan.
"Call tanya mak tadi. Mak kata tak boleh makan. Dah masuk dalam perut, nak buat macam mana? Ingatkan semua ikan boleh dimakan. Cheq pun makanlah," katanya.
Jelasnya lagi, dia kerap melihat ahli group MAHN berkongsi gambar-gambar makanan yang sedap. Kebetulan pula pada hari itu dia sedang lapar, malangnya tiada makanan pula di rumah bujangnya itu.
Timbulnya idea apabila dia ternampak ikan perliharaan rakannya dalam akuarium. Lalu diambil dan digoreng untuk dijadikan santapan.
Bagaimanapun, lelaki itu menjadi bahan gelak ketawa rakannya, sehingga dibahan bertubi-tubi menyebabkan dia mula rasa menyesal dengan tindakannya memakan ikan tersebut.
Sementara itu di media sosial, netizen juga merasa lucu dan menganggap lelaki itu terlalu lapar sehingga terdesak memakan ikan perhiasan milik rakan serumah. Ada segelintir netizen yang mengusik, kononnya jendul di kepala ikan tersebut akan timbul di dahinya selepas beberapa hari memakan ikan flower horn.
Disebalik rasa menyesal kerana tidak bertanya terlebih dahulu, M.A memuji kesedapan ikan flower horn yang mana isinya rasa manis-manis liat. Menjawab pertanyaan netizen mengenai jendul ikan tersebut, ianya kosong dan tidak berisi, malah mengecut apabila digoreng.
Tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu telah menarik balik postnya tanpa diketahui sebabnya.
Blogger Comment
Facebook Comment