KLUANG, JOHOR - Dua lelaki yang menimbulkan kekecohan dan provokasi sehingga mencederakan seorang lelaki di Bazar Ramadan Bandar Kluang, petang semalam telah menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang, jam 1.40 tengah hari tadi.
Insiden yang dirakam dan viral di media sosial dikecam netizen termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tindakan sekumpulan lelaki itu sebagai tindakan yang perlu dikecam.
"Tindakan yang perlu dikecam, lebih-lebih lagi pada bulan puasa. Tak perlu kita bertindak seperti ini walaupun berbeza pandangan politik," tweetnya pagi tadi.
Dalam insiden tersebut, sekumpulan enam lelaki dilaporkan membuat provokasi dan menghalau beberapa anggota pembangkang yang sedang mengedarkan kurma kepada pengunjung bazar.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, 39, membuat laporan polis berhubung insiden itu yang juga telah menyebabkan salah seorang anggotanya ditumbuk di dahi kiri.
Dua lelaki yang terlibat dalam kekecohan itu, Ali Itik dan Mustakim kemudian menyerah diri di IPD Kluang dan ditahan sebelum dibebaskan semula dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, salah seorang daripada suspek mengaku menumbuk mangsa, manakala seorang lagi mengaku menolak mangsa yang lain.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 akta yang sama kerana ugutan jenayah.
Sementara itu di media sosial, netizen mengecam teruk dua lelaki terbabit yang dianggap terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menjatuh maruah diri dan agama Islam.
Netizen juga mendapati, lelaki yang mengaku dirinya sebagai 'Imam' dalam video viral itu sebelum ini juga pernah menimbulkan kekecohan yang sama beberapa tahun yang lalu.
Sumber: Berita Harian & Harian Metro
Blogger Comment
Facebook Comment