Kau Sengihlah! Kau Sengih! Kau Sukalah Tengok Kita Kena Tangkap,”



Melaka: “Kau sengihlah! Kau sengih! Mentang-mentang kau tak ada kat sini, kau sukalah tengok kita orang kena tangkap,” sergah janda berusia 27 tahun kepada rakannya selepas dia ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), dalam operasi mencegah maksiat di Plaza Mahkota, di sini, semalam.

Rakannya yang dikenali sebagai Mohd Zaki, 26, berasal dari Klebang, di sini, antara ‘kaki gam’ yang menjadikan kawasan sekitar Plaza Mahkota sebagai ‘perkampungan’ mereka yang kebanyakan golongan remaja.

“Sebelum ini, kami pernah mendiami sebuah hotel tinggal sehinggalah pihak berkuasa menyerbu dan menghalau kami keluar.

“Apabila kami tahu ada bangunan tinggal, habis semua kami jajah asalkan kami ada tempat tidur,” katanya ketika ditahan pada operasi pencegahan maksiat terbabit.

Katanya, kebanyakan mereka mula menghidu gam kerana masalah keluarga, hidup secara nomad dan hanya menggunakan kemudahan awam percuma yang disediakan kerajaan seperti tandas awam.

Mohd Zaki berkata, antara sebab utama kawasan Plaza Mahkota begitu popular dalam kalangan kaki lalok adalah makanan percuma yang disediakan sebuah pertubuhan keagamaan di salah sebuah bangunan di situ.

“Bagi kami, apa yang penting ialah ‘happy’. Soal makan, mandi dan tidur itu belakang kira sebab semua tu ada di sini.

“Lepas ‘happy’, kami biasanya melepak di Mahkota Parade atau Dataran Pahlawan untuk mencari duit nak beli ‘bahan’ (gam).

Katanya, meminta wang RM2 daripada pelancong menjadi kebiasaan bagi mereka kerana nilai itu tidak begitu membebankan bagi pelancong.

Bagi penghidu gam yang memiliki kenderaan terutamanya motosikal, kerja rencam seperti mencuci kereta dan pembantu kedai menjadi pekerjaan pilihan mereka.

Melalui tinjauan Harian Metro, beberapa pemilik bangunan di sekitar kawasan Plaza Mahkota, di sini, terpaksa menggantikan pintu kayu yang disediakan pemaju dengan kepingan besi bagi menyukarkan golongan itu menceroboh bangunan mereka.

Difahamkan, lebih 20 penghidu gam menjadikan kawasan berhampiran muara Sungai Melaka tempat berkumpul setiap petang sebelum menceroboh bangunan tinggal berhampiran.

Antara harta berharga yang perlu dimiliki golongan nomad ini untuk menandakan ‘kediaman’ mereka, adalah tilam span kerana mudah dipindahkan.

Peniaga berhampiran yang ingin dikenali sebagai Hani, 28, berkata, golongan kaki lalok itu sentiasa berlegar di kawasan berhampiran pejabat Polis Marin bermula kira-kira jam tiga petang hingga larut malam.-Harian Metro
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment