Anak yang baru lahir perlulah diberi didikan yang secukupnya untuk memastikan anak-anak boleh berdikari ketika besar nanti. Kalau asyik nak kena suap sahaja, penat juga!
Pepatah Melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Setiap didikan yang ibu bapa beri haruslah sejak kecil lagi supaya anak-anak sudah terdidik dan terbiasa dengan ajaran yang diberikan.
Jika ibu bapa memberi didikan yang tidak baik, anak-anak juga akan terdidik dengan tingkah laku yang kurang baik kelak. Anak juga diibaratkan sebagar kain putih yang bersih, ibu bapa lah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya.
MELATIH BAYI MAKAN SENDIRI
Begitu jugalah halnya dengan didikan dalam mengajar anak berdikari untuk makan sendiri. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak cara yang betul untuk memastikan anak mampu untuk makan sendiri. Jom kita amalkan cara di bawah ini.
1. MAKAN BERSAMA-SAMA
Amalan makan secara beramai-ramai perlu dilakukan dalam sesebuah keluarga. Makan bersama-sama ibu bapa dan anak-anak. Setiap kali waktu makan, pastikan anda mengajak semua anak untuk makan di meja bersama-sama.
Jika perbuatan ini diamalkan setiap masa, anak yang kecil akan timbul minat untuk makan. Jangan sesekali biarkan anak anda makan bersendirian, sebab dia akan rasa bosan dan tidak seronok kerana tiada teman ketika makan. Walaupun anda sudah makan, pastikan anda ada di sisinya untuk memantau dia makan.
2. MAKAN DI KERUSI BAYI, JANGAN PANGKU
Ibu bapa juga boleh menggunakan kerusi bayi untuk memudahkan anak anda makan tanpa mengganggu anda. Biarkan dia duduk nak menikmati hidangan yang ada. Jangan biasakan memangku anak ketika makan. Hal ini bukan sahaja tidak dapat mendidik anak, malah akan menyusahkan anda untuk makan.
Jadi fikir dan buatlah cara yang bijak dengan membiarkannya duduk di kerusi bayi. Tindakan ini akan meningkatkan daya keyakinan anak anda dan dia akan pasti gembira kerana dapat makan sendiri.
3. JANGAN SUAP LAGI, CUBA MAKAN SENDIRI
Jika anda telah membiarkan anak duduk di kerusi bayi ketika makan supaya memudahkan anda untuk menyuapnya, cuba tukar pula. Anda hidangkan makanan di dalam mangkuk bayi dan letak di hadapannya supaya dia boleh belajar makan sendiri.
Jangan sesekali marah kerana anak akan makan bersepah dan kotor. Biarkan sahaja dan anda perlulah bersabar sebab anak-anak dalam proses pembelajaran. Kemarahan hanya akan membuatkan anak menangis dan terus tidak mahu makan.
Ibu bapa perlu mendidik secara berperingkat, elakkan mendidik dengan terlalu banyak perkara dan menyebabkan tekanan kepada anak anda. Biarkan dia belajar satu-satu perkara dahulu. Jika dia sudah pandai makan sendiri, ajarkan dia supaya makan dengan cermat dan tidak bersepah pula.
4. MULA AJAR GUNA TANGAN
Jika ingin mendidik anak untuk makan sendiri, bolehlah dimulakan dengan makan menggunakan tangan. Hal ini kerana, makan guna tangan lebih mudah berbanding makan menggunakan sudu. Makan menggunakan sudu agak berisiko kerana anak anda baru hendak belajar makan sendiri.
Hal ini untuk mengelakkan dari tercucuk ke tekak. Walau bagaimanapun, jika ingin mendidik anak makan menggunakan tangan, anda juga haruslah makan menggunakan tangan. Biar anak anda belajar dengan apa yang dia lihat kita lakukan.
Dari situ dia akan belajar makan menggunakan tangan. Jika anak telah pandai menggunakan tangan, anda bolehlah ajar dia cara memegang sudu yang betul. Carilah sudu yang sesuai untuk peringkat umur kanak-kanak. Supaya dia lebih tertarik untuk makan. Jika anak telah pandai makan menggunakan sudu, anda haruslah sentiasa memantaunya.
5. BERI MAKANAN YANG MUDAH DIPEGANG
Bagi mendidik anak untuk makan sendiri, ibu bapa haruslah mulakan dengan memberikan makanan yang mudah dipegang. Elakkan dari memberi makanan yang keras, lembik dan licin. Berilah dia makan ayam, sayur, dan nasi yang mudah dipegang.
Buah juga boleh diberi kepadanya. Jika anak hendak memberikan dia makanan yang berkuah, pastikan kuah itu anda suapkan kepadanya dahulu dan tunjukkan cara menggunakan sudu untuk makan makanan berkuah. Jika anda ingin memberinya nasi, anda boleh kepal-kepalkan nasi menjadi bebola supaya anak senang ambil dan makan.
6. MAKAN SAMBIL MENONTON TV ATAU YOUTUBE
Kanak-kanak sangat mudah bosan dengan sesuatu perkara. Begitu halnya juga ketika makan. Jika pada kebiasaannya anda memberi makan kepada anak anda tidak sambil menonton televisyen, cuba pula tukar suasana makan dengan menonton televisyen.
Pilih siaran yang dia suka seperti kartun Upin dan Ipin. Jika sambil makan dia menonton televisyen, pasti anak anda akan lebih bertambah selera makannya. Jika tidak menonton, anda bolehlah pasangkan lagu-lagu yang digemarinya.
Hidupkan suasana ceria ketika memberi anak makan supaya dia tidak bosan. Jika anda buat cara ini, anak anda tidak ada masalah untuk makan sendiri di masa akan datang kerana si kecil pasti suka suasana ketika makan.
7. JANGAN MARAH ANAK
Perkara yang perlu dijauhi ketika mendidik anak untuk belajar makan sendiri ialah jangan memarahinya. Jika dia baru hendak belajar makan sendiri, beri dia peluang untuk membiasakan diri dengan keadaan itu.
Pastikan meja dan kerusi makan selesa untuk si kecil makan. Jika dia makan dengan bersepah, anda jangan memarahinya, tetapi nasihatkan dan ajarlah dia cara makan yang betul. Guna bahasa-bahasa yang merangsang anak anda untuk seronok ketika makan.
AKHIR KATA
Ibu bapa adalah insan yang paling bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Latih anak anda berdikari supaya dia pandai melakukan sesuatu perkara dengan sendiri.
Tindakan tidak memberi peluang kepada anak mencuba sesuatu akan menyebabkan si kecil takut dan tidak berani untuk membuat sesuatu dengan sendiri. Sama-sama kita cuba didik anak agar jadi insan terbaik.
Selamat mencuba!
via Bin Usrah
Blogger Comment
Facebook Comment