Kaki Dibaham Buaya, Penjelasan Sudah Diberi

Pelatih Taman Buaya Putus Kaki Kanan Dibaham Buaya

SANDAKAN – Pemilik Taman Buaya Sandakan telah memberikan penjelasan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) mengenai kejadian seorang pekerja sambilannya putus kaki kanan akibat dibaham buaya di taman itu pada Isnin lepas.
Pengarah jabatan itu Augustine Tuuga berkata beliau sendiri telah bertemu dengan pemilik taman itu untuk meminta penjelasan.
“Siasatan dibuat oleh pihak polis dan pihak kami tidak mahu komen apa-apa,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya pegawai jabatan itu juga telah melawat mangsa.
Dalam pada itu, taman terbabit telah ditutup buat sementara dan pihak pengurusan Taman Buaya itu ketika dihubungi Bernama tidak menyatakan sehingga bila taman itu akan ditutup.
Tinjauan ke taman buaya yang terletak di tepi jalan Batu 8, Jalan Labuk mendapati pagar utama masuk ke taman itu telah ditutup.
Mangsa berusia 35 tahun yang juga pelatih pertunjukan burung di taman itu masih menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Dalam kejadian pada 1.45 tengaah hari itu, mangsa putus kaki kanan dan tangan kanannya hancur dibaham apabila memberi makan seekor buaya yang dipelihara di kolam pertunjukan taman itu.
Buaya itu dipercayai berang selepas mangsa bertindak menggosok bahagian hidungnya.
Taman Buaya Sandakan dikendalikan oleh pengusaha swasta dan berlesen merupakan antara tarikan pelancongan di daerah ini. – BERNAMA
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment