Oleh Hazimah Othman
Bismillah. Assalamualaikum anak syurga comel ibu, Alif Umar. Saat ibu coretkan ni, ibu harap Umar sedang gembira bermain dengan bidadari dan kawan kawan Umar di sana. Berat sebenarnya ibu nak menaip. Tapi ibu kuatkan hati demi secebis ingatan ibu untuk dikongsi buat tatapan dan kenangan ibu sampai bila-bila.
Alif Umar sayang,
Dua tahun ibu dan abah tunggu, gembiranya kami bila dapat tahu Umar sedang menghuni rahim ibu. Sujud syukur ibu. Indahnya rasa masa tu. Umar anak yang senang dikandung. Alahan tu biasalah nak, tu tandanya Umar sedang membesar dengan sihat.
Cukup 38 minggu, ibu lahirkan Umar. Cerita kelahiran Umar pun akan ibu ingat sayang. Hehe, kelakar pun ada juga. Masa tu ibu dan abah pergi ke hospital untuk buat check up. Ibu pun masa tu make up lah lawa-lawa konon nak ajak abah makan kat Ikea lepas selesai semua. Masuk bilik, lepas scan doktor check bukaan rupanya dah 4cm. Laa, sungguh ibu tak rasa apa nak. Tiga jam menahan contraction, 10 minit ibu meneran, Umar selamat lihat dunia. Allahuakbar, syukur sangat Allah permudahkan segalanya. Lepas selesai semua, bonding time kita berdua. Comel betul awak masa tu, geram ibu. Masa ibu dan abah bergambar dengan awak dan kongsikan dengan yang lain, ramai yang ucap tahniah. Tak kurang juga yang panggil ibu Che Ta sebab muka cantik bermekap. Hahaha.
Umar senang dijaga. Tak banyak kerenah. Lepas sahaja kita balik rumah, rutin kita pun jadi mudah. Tak ada masalah langsung pun sepanjang jaga awak Umar. Syukurnya ibu dan abah dapat Umar.
11 Januari, bermulalah episod indah dan tabah kita berdua. Iye sayang, kita berdua. Abah kan kerja kat Melaka. Setiap hujung minggu sahaja kita dapat luangkan masa bertiga.
Rasanya tak perlulah ibu cerita atas sebab apa Umar perlu duduk di hospital. Memang sengaja ibu tak nak bercerita dengan orang, bimbang nanti ganggu emosi ibu. Lagipun ibu tak gemar simpati orang apatah lagi kata kata semangat yang kadangkala buat ibu rasa lemah. Ahh, biarlah. Orang takkan faham apa kita rasa.
Setiap hari ibu berulang ke hospital. Demi Allah Umar, sikit pun ibu tak rasa penat malah ibu makin bersemangat nak tengok awak sembuh. Apa sahaja yang doktor cakap pada ibu, ibarat macam asap yang hilang perlahan lahan. Macam-macam ibu baca kat Google tentang apa yang doktor bincangkan. Sampaikan bila ibu bertanya itu ini, ada doktor tanya ibu balik,
"Awak pernah kerja dalam bidang medik ke? Sebab awak tahu term medik..."
Iye nak, ibu baca semua artikel tentang masalah yang awak hadapi. Mana yang ibu tak faham, ibu cari lagi apa maksud term ni. Semua ni demi untuk Umar. Ibu nak yang terbaik untuk Umar. Hujung minggu sahaja, ibu akan terangkan pula kat abah apa sahaja yang doktor beritahu ibu. Sampaikan abah pun dah tahu term medik. Fuh, hebat tak ibu? Kehkeh.
Kat hospital pun Umar budak yang sangat senang dijaga. Saat ibu lihat anak yang lain menangis terjerit, Umar diam sahaja tersenyum seakan nak beritahu,
Allah, manalah ibu tak risau nak. Malam ibu tak dibenarkan tidur dengan Umar. Rupanya nurse cakap Umar tidur lena sahaja sepanjang malam. Alhamdulillah lega hati ibu.
"Ibu jangan risau Umar good boy kat sini.Nurse pun jaga Umar dengan baik."
Allah, manalah ibu tak risau nak. Malam ibu tak dibenarkan tidur dengan Umar. Rupanya nurse cakap Umar tidur lena sahaja sepanjang malam. Alhamdulillah lega hati ibu.
Saat paling merentap hati ibu ialah bila doktor cuba nak masukkan branula ke dalam saluran darah awak. Sakitnya ibu tahu tapi nak buat macam mana. Itu sahaja cara nak masukkan ubat untuk Umar. Lagi satu bila nurse nak buat suction keluarkan kahak awak. Allah, seksa betul ibu tengok muka Umar. Tapi Umar kuat. Kuatnya ibu pun datang dari awak sayang. Itulah janji kita berdua kan?
Hari raya tahun ni kami semua sambut sederhana sahaja. Atuk dan nenek memilih untuk beraya di sini sahaja demi Alif Umar. Nenek buatkan baju Melayu khas untuk Umar berwarna ungu. Iye Umar, tahun ni tema kita warna itu. Pagi raya kami datang bawa baju tu pakaikan untuk Umar. Nurse izinkan kita bergambar buat kenangan. Indahnya perasaan itu. Ibu cakap pada Umar, tahun depan kita raya kat rumah ye sayang. Umar macam biasa, senyum jelah. Umar kan anak yang murah dengan senyuman. Entah faham ke tidak apa ibu cakap.
Awal September, Alhamdulillah abah dapat posting sini. Sukanya ibu, dapatlah kita luangkan masa bersama. Lagi lagi Umar. Umar kan suka abah. Yelah, muka Umar iras abah. Kulit je ikut ibu. Hehehe.
1 Oktober adalah tarikh yang akan ibu ingat sampai bila-bila. Tarikh yang Allah pilih untuk Umar. Tarikh yang takkan berulang untuk kita. Bukan seperti tarikh Umar dimasukkan ke OT berulang kali. Bukan tarikh doktor masukkan branula. Bukan tarikh doktor bagi ubat. Bukan tarikh nurse masukkan ryles tube untuk Umar menyusu yang perlu ditukar dua minggu sekali. Ini tarikh yang semua akan ingat. Tak perlu dicatat dalam rekod.
Pagi-pagi lagi Umar dah berak. Sukanya ibu sebab dah dua hari Umar tak berak. Memang berlambak lah, puas hati ibu tengok. Seolah olah Umar nak kosongkan perut Umar. Lepas mandikan Umar, macam biasalah main sekejap. Tapi ibu perasan, Umar manja lebih hari itu. Merengek hulur tangan minta diangkat. Ibu ribakan Umar, kita tengok ABC song sama sama. Umar memang suka tengok, lagi lagi bila turn C for cat. Sebab ada bunyi kucing meowww. Usai tengok, Umar menguap tanda mengantuk. Ibu letak atas katil, Umar terus tidur.
Tapi baru sahaja Umar tidur, staf fisio datang nak buat chest fisio dan sedut kahak Umar. Kali ni ibu ketawa dengan nurse sebab Umar elok saja tidur saat staf tu tepuk dada dan belakang Umar. Tak pernah awak macam ni sayang.
Lepas habis sedut kahak yang tak banyak tu, Umar terus bangun senyum. Pukul 11 lebih, ibu turun kafe sekejap beli makanan sebab dah lapar sangat tak sempat sarapan. Minta tolong nurse tengokkan Umar. Naik je tengok Umar elok sedang main. Bertuah betul anak ibu. Ibu pasangkan TV, sebab nak bagi Umar leka. Lepas tu ibu dukung Umar bawa berjalan sekitar kawasan katil.
Tak lama lepas tu ibu letakkan Umar dalam carseat yang ibu letak atas kerusi. Ibu duduk berhadapan dengan Umar. Main-main dengan Umar. Nyanyikan lagu Itsy Bitsy Spider sementara nak tunggu abah yang baru sampai hospital. Tiba sahaja abah sebelah Umar, terkinja-kinja Umar sampai bergegar carseat dibuatnya. Macam tulah Umar kalau teruja. Lagi lagi bila nampak abah. Sementara tunggu abah pergi tandas dan basuh tangan, ibu sempat lagi ambil gambar Umar.
Lima minit lepas tu, ibu perasan Umar macam drowsy. Ibu panggil pun Umar buat tak tahu. Terus ibu angkat Umar, baringkan atas katil dan arahkan abah on oksigen. Kami panggil nurse tengokkan Umar. Oh ya lupa ibu nak cakap. Umar memang pernah diserang sawan sebelum ini tanpa diketahui punca. Umar tak pernah demam panas. Bacaan kalsium dan glukos Umar pun normal. Kalau Umar diserang sawan, lepas bagi oksigen dan ubat diazepam, sawan Umar akan pulih serta merta. Jadi kami semua memang dah bersedia dengan kemungkinan umar diserang sawan lagi.
Memang benar lepas tu Umar diserang sawan. Nurse dan doktor terus buat prosedur seperti biasa. Tapi kali ni ibu perasan sawan Umar lain. Ibu nampak Umar terus tak sedar dan muka Umar berubah biru. Terus doktor minta ibu dan abah keluar sebentar. Allah, hati ibu sungguh tak keruan. Ibu menangis sayang.
Ibu terus call atuk dan nenek yang memang berhasrat nak jenguk Umar. Ibu nampak doktor dan nurse berlari silih berganti. Kejap kejap abah jenguk. Tapi langsir masih lagi bertutup.
Allah Umar. Hati ibu tak sedap. Dah setengah jam kami tunggu tapi kenapa kami tak diberitahu apa apa. Atuk dan nenek sampai. Atuk cakap dari celah langsir atuk ternampak mereka sedang tekan dada kecil Umar. Allah,Allah,Allah.
Ibu dah tahu apa yang mereka buat. Abah dah mula menangis lagak budak kecil. Atuk dan nenek sudah mula mengalirkan air mata. Atuk suruh ibu bersabar banyak banyak. Sedihnya kami hanya Allah yang tahu. Ibu duduk di kerusi. Ibu cuba tenangkan diri. Terus meluncur keluar dari mulut ibu.
"Umar nak pergi, pergi jelah sayang. Ibu takkan minta lagi Umar bertahan. Cukuplah Umar berjuang kuat melawan segala kesakitan. Pergilah sayang. Pergilah. Ibu redha"
Elok selepas itu doktor pakar panggil kami ke bilik kaunseling. Berjalan berpimpin tangan sambil menjeling ke arah katil Umar. Doktor jelaskan satu persatu dengan berhati-hati. Sudah sejam mereka bergilir-gilir melakukan CPR ke atas Umar namun jantung Umar tak mahu berdegup kembali. Hanya degup jantung ibu sahaja yang bergerak laju terasa mahu meletup. Ibu cuba kawal emosi. Ibu dan abah faham.
Pergilah sayang. Kenal apa itu pokok. Apa itu burung. Bermain dengan kucing yang Umar hanya kenal dalam handphone ibu. Taman syurga itu lagi indah dari pemandangan yang kita hanya mampu lihat dari tingkap hospital. Cukuplah Umar membesar hanya ditemani dinding konkrit, mesin, wayar yang berselirat, ubat yang bermacam. Cukuplah nak. Pergilah berehat di sana. Ibu sungguh sungguh redha.
Saat doktor panggil untuk tengok Umar yang sudah dibersihkan, berat sungguh jasad ibu nak pergi. Ibu nampak mata semua nurse merah. Allah sayang, ramainya yang menangisi pemergian Umar. Ramainya yang sayang Umar. Yelah, Umar kan 'abang kawasan' hehe. 8 bulan 20 hari awak di sana sayang. Semua doktor dan nurse dah kenal siapa Alif Umar, budak manja comel yang suka senyum.
Ibu tengok Umar, terus tumpah air mata ibu meluncur laju tanpa dapat ditahan. Ibu macam bermimpi sahaja. Umar seperti sedang tidur. Ibu peluk Umar, ibu cium Umar sepuas hati ibu sambil berzikir. Ibu istighfar banyak kali. Ibu tak nak dikawal emosi yang melebih lebih. Ibu tak nak Umar lihat ibu menangis. Masa Umar ada pun memang ibu tak menangis depan Umar. Ibu berjanji nak kuat depan Umar. Wallahi, kali ni ibu memang tak mampu.
Nurse datang peluk ibu. Doktor yang berusaha selamatkan Umar menangis peluk sambil minta maaf pada ibu. Tidak doktor, tiada apa yang perlu doktor kesalkan. Semua orang dah berusaha sehabis baik. Memang sudah masanya Umar dipanggil pulang. Tidak lambat, tidak cepat walau sesaat.
Sementara tunggu staf rumah mayat datang ambil Umar, ibu angkat Umar letak di riba abah. Abah peluk Umar dan kami ramai ramai bacakan Yasin. Silih berganti doktor dan nurse datang tengok dan kucup Umar.
Selesai semua urusan di rumah mayat, kami bawa Umar balik ke rumah atuk. Ibu riba dan peluk Umar sepanjang jalan. Ibu bercakap dengan Umar, seolah Umar masih ada. Ibu tatap dan cium puas puas muka Umar yang dingin tu. Marilah kita balik nak, kita tinggalkan hospital yang banyak kisah suka duka buat kita.
Maafkan ibu andai ibu tidak melayan soalan tetamu semasa kita baru sampai di surau. Sungguh hati dan perasaan ibu kosong waktu itu. Ibu hanya nampak Umar yang sedang dikerumuni orang ramai.
Ibu dan abah berkesempatan mandikan Umar buat kali terakhir bersama dengan atuk dan pakcik pakcik Umar. Hujan yang tiba tiba turun seakan mengiringi pemergian anak syurga ibu. Subhanallah. Usai sahaja Umar disolatkan, hujan reda memberi laluan kita ke tempat terakhir Umar di dunia ini.
Alhamdulillah, semuanya selesai dengan mudah. Saat umat Islam sedang bersiap untuk menyambut awal Muharram. Dari lahir, pergi hinggalah dikebumi, Umar cukup menyenangkan semua orang. Ingin saja ibu masuk ke dalam liang lahad menemani Umar tapi apakan daya sayang, pahala ibu belum layak untuk dibawa bersama ke taman syurga Umar.
Subhanallah.
Alhamdulillah.
Lailaha illallah.
Allahuakbar.
Malam pertama Umar didalam tanah, cukup asing bagi ibu dan abah. Pelik rasanya. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Ibu keluarkan baju terakhir yang Umar pakai. Allah, ada lagi bau Umar. Wanginya. Ibu cium dalam dalam. Ibu pandang abah. Abah pandang ibu. Tiba tiba abah menangis sambil peluk cium baju Umar. Ingin saja ibu pujuk abah tapi tak terdaya, ibu pun menangis sama. Menangislah kami berdua merindui Umar sampai kami tertidur. Tidur yang tak lena. Tidur yang hanya ditemani memori yang abah ibu takkan lupa.
Barang Umar pun kami tak mampu tengok. Stroller yang Umar duduk bila temani ibu abah makan kat pantri. Biskut Rusk kegemaran Umar. Mainan Umar yang penuh sekotak sampai tak tahu nak main yang mana satu. Stokin comel yang Umar suka cabut lepas tu senyum nakal buat muka tak bersalah. Baju baju Umar yang abah baru bawa semula ke hospital. Carseat tempat terakhir Umar duduk.
Demi Allah, ibu sungguh rindukan Umar. Sungguh sangat rindu. Rindu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Tapi tak apalah sayang. Ibu sangat pasti Umar sudah bahagia disana. Entah-entah ibu pun Umar dah lupa. Mesti bidadari sana jauh lagi baik dan cantik dari ibu kan sayang?
Buat rakan dan saudara mara yang mengucapkan takziah, terima kasih banyak-banyak. Terima kasih atas kata kata semangat. InsyaAllah kami masih lagi mampu kuat, sabar, tabah dan redha. Tapi tolonglah jangan suruh kami berhenti menangis dan tidak terlalu memikirkan Umar. Tolong jangan. Ibu doakan anak-anak kawan kami diberi kesihatan sebab kami nak kalian semua tahu, cukup sakit rasanya kehilangan anak. Janganlah ditanya lagi apa sakit Umar, apa punca Umar pergi. Cukuplah.
Alif Umar sayang,
Terima kasih sebab hadir dalam hidup abah dan ibu walau hanya 10 bulan 20 hari. Ibu tak rasa sekejap pun. Ibu puas dapat bersama Umar di masa Umar memerlukan ibu. Umar banyak mengajar abah dan ibu apa itu erti sebenar kehidupan. Apa itu ketabahan dan kekuatan. Apa itu cinta dan sayang. Ibu abah bersyukur sangat dipilih Allah untuk merasai nikmat indah ini. Nikmat memiliki anak syurga.
InsyaAllah Umar, ibu takkan lupakan Umar sampai habis hayat ibu. Umar akan ibu letak di tempat yang paling istimewa dalam hati ibu. Ibu akan bercerita kepada semua orang yang ibu ada anak yang cukup kuat bernama Alif Umar.
Selamat tinggal anak syurga ibu abah. Berehatlah di sana. Tunggu ibu abah datang nanti ye. Assalamualaikum sayang.
Selamat tinggal anak syurga ibu abah. Berehatlah di sana. Tunggu ibu abah datang nanti ye. Assalamualaikum sayang.
إِنَّالِله وَإِنَّاإِلَيْهِ رَاجِعُون، أَللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصيِبَتِي وَاخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepadaNya, Ya Allah berilah ganjaran kepadaku dalam menempuh musibahku, dan gantikanlah ia dengan yang lebih baik.
ALIF UMAR MOHD ADLI
Blogger Comment
Facebook Comment