'Resume Sampah!' - Pegawai HR Kongsi 5 Kesilapan Yang Kerap Dilakukan Pencari Kerja


Oleh Izman Pauzi

Resume sampah!
Kata-kata tersebut agak keterlaluan, namun itulah realiti yang dihadap oleh seorang Pegawai Sumber Manusia (Human Resources - HR) seperti saya, setiap kali menerima resume daripada pencari kerja. Bukan bermaksud saya atau rakan-rakan HR yang lain menganggap resume yang dihantar kepada kami dipandang hina seperti sampah. Tetapi si pencari kerja itulah yang menjadikan resumenya seolah-olah sampah. 

Okay, saya cerita. Pagi ini, saya menerima dua resume dari pencari kerja yang dihantar melalui pos. Setelah disisih oleh pembantu saya, ia diletakkan di meja saya untuk penilaian dan tindakan. Tanpa prejudis, saya menelitinya dan terima kasih kepada mereka yang berminat menghantar permohonan kerja di syarikat saya bekerja ini, biarpun ia syarikat kecil. 

Usai meneliti kedua-duanya, saya bersandar. Kemudian mengeluh sendiri. Kedua-duanya pemohon berbangsa Melayu, berpendidikan tinggi, ada diploma tetapi resume mereka langsung tak berbekas di hati saya sebagai orang HR. 

Kenapa? Ia dihantar tanpa surat iringan. Hanya resume dan CV semata-mata. Ia resume yang tiada nilai. Apakah jawatan yang dipohon dan berapa gaji yang diminta? 

Bab gaji bukanlah isu yang besar tetapi tidak menulis jawatan di permohonan itu satu kesilapan tersebar calon. Orang HR tiada kuasa membaca hati anda. Kami juga tidak boleh sewenang-wenangnya memilih dan mencadangkan jawatan untuk anda pilih biarpun itulah sebenarnya tujuan anda tidak menulis jawatan yang dipohon. 

Jika anda terlalu inginkan kerja atau tidak memilih, tulislah 'Permohonan Jawatan Sebagai Penyelia Stor Atau Setaraf', sebagai contoh. 

Sudahlah buat kesilapan sebesar ini, diikuti pula dengan kesilapan lain yang tidak sepatutnya berlaku seperti berikut:

1. Membesarkan Saiz Gambar Sesuka Hati

Gambar besar itu bagus tetapi janganlah membesarkannya tanpa mengambilkira ratio yang betul. Hasilnya, rupa kacak anda menjadi lonjong seperti Patrick si tapak sulaiman dalam kartun Spongebob Squarepants.
2. Kesilapan Ejaan

Resume adalah cerminan diri anda sebelum anda dipanggil temuduga. Kesilapan ejaan boleh dielak jika anda membaca resume anda berulang kali sebelum dihantar. Orang HR pun ada yang tidak mahu berdiplomasi bab kesilapan ejaan kerana ia menunjukkan anda seorang yang tidak teliti.
3. Penggunaan Bahasa Inggeris

Ia sesuatu yang biasa dan digemari oleh calon biarpun mereka gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Bercakap 'broken english' tak salah kerana ia akhirnya akan menjadikan kita yakin dan mahir bertutur bahasa inggeris. Tetapi penulisan tidak begitu. Jika anda ingin menulis resume dalam bahasa inggeris, pastikan ejaan dan bahasanya betul dan sesuai. Susah? Apa yang susah sangat, pakcik Google kan ada. Itu pun nak ajar!
4. Sijil Sokongan Tidak Disertakan

Sijil sokongan tidak disertakan untuk jawatan yang dipohon secara semberono dengan niat mana tahu sangkut, bolehlah! Tetapi jika anda bersaing untuk jawatan tertentu yang diiklankan, sebaiknya sertakan sijil sokongan seperti sijil SPM, STPM, Diploma, Ijazah, Sijil Kemahiran, Sijil Penghargaan dan surat-surat sokongan yang berkaitan. 

Orang HR seperti saya ini bukanlah tahu semua tentang kurus-kursus yang terdapat di kolej atau universiti. Jadi kami tidak tahu sama ada bidang yang anda pelajari itu sesuai dengan bidang yang dipohon. Jadi, sertakanlah transkrip peperiksaan. Lagi kelakar apabila sesetengah kursus itu diberi nama dalam bahasa Melayu dan kami tidak tahu maksudnya kerana ia menggunakan bahasa yang kami tidak pernah dengar. Jika ada transkrip, dapatlah kami hayati dan fahaminya.

5. Tiada Adab

Apa-apa pun tulisan saya di atas jika anda tidak tahu adab, semuanya tidak berguna dan resume anda akan benar-benar menjadi sampah dan dibuang serta-merta. Ya, saya serius! 

Suatu ketika dahulu saya pernah membuang resume calon yang saya rasa cukup biadab apabila bercakap melalui telefon. Dia menerima pihak syarikat dan orang HR untuk mengetahui penerimaan resume yang dihantar dan status permohonannya adalah trik atau teknik untuk memenangi temuduga. Tetapi ia akan menjadi mimpi buruk jika anda tidak tahu adab. 

"Hello HR, awak ada terima tak, resume saya?" tanya seorang calon melalui telefon. 

Setelah bersoal jawab mengenai nama, tarikh dihantar dan jawatan yang dipohon, saya memaklumkan bahawa resumenya sedang diproses. 

"Okaylah kalau begitu. Resume itu jangan lupa bagi bos awak tengok, jangan peram di meja awak pula," katanya lagi.

Wah! Mendidih betul hati saya mendengarnya. Tetapi saya tetap profesional dan menamatkan perbualan itu dengan baik. Tetapi saya tanpa berlengah telah memasukkan resumenya itu ke dalam bakul sampah yang berada di sebelah meja. Ya, saya boleh jadi tidak profesional dalam tugas tetapi saya yakin, syarikat tempat saya bekerja ini tidak memerlukan orang yang tiada adab. Resume yang dibuang pasti tidak dapat dikesan lagi dan peluang calon tersebut adalah 0%.

Bagi kes ini, sejujurnya calon tersebut telah tersenarai antara lima calon yang paling layak setelah melalui proses tapisan. Tetapi oleh kerana mulutnya itu, saya telah membakulsampahkan resumenya. Apa salahnya guna bahasa panggilan yang lebih sesuai. Tidak kisahlah jika orang HR itu cuma sekadar kerani HR . Apa salahnya panggil tuan, encik, puan, cik atau lain-lain panggilan yang tertib dan formal. 

Dalam kes ini, dia bergurau kasar dengan bos HR sendiri yang kebetulan sedang pening kepala membuat bajet tahunan untuk syarikat. Jadi, terimalah pembalasan akibat perbuatannya itu. Orang tua sudah kata,
Sebab pulut, santan binasa. Sebab mulut, badan binasa.
Jadi, suka saya ingatkan bahawa, ekonomi kita semakin gawat dan pencari kerja semakin ramai dan terdesak. Jadi, mulakan langkah pertama mencari kerja dengan betul dan dengan menulis resume yang sempurna. 

Kemudian ingatlah bahawa, proses pemilihan calon dan temuduga termasuk penentuan gaji dan pengesahan penerimaan jawatan adalah kuasa budi bicara HR. Dan kamilah barisan depan yang menilai anda. Jika anda gagal melepas kami, maka tipislah harapan anda kecuali anda mempunyai kabel yang lebih besar. 

Kami tidak perlu dikipas atau disogok. Cukup sekadar menulis resume yang lengkap dengan surat iringan, menelefon atau menulis emel bertanya khabar mengenai status resume anda sebagai tanda ia diterima dan diambil tindakan. Jika anda sesuai, anda akan diberi peluang dalam proses temuduga dan inshaAllah akan menerima tawaran jawatan. Proses ini terpakai untuk semua jawatan dan semua syarikat.

Jika nak tahu lebih lanjut lagi, bacalah buku mengenainya yang banyak di pasaran dan hadirilah kelas menghadapi temuduga yang dianjurkan oleh pihak universiti atau kolej. Jika tidak diajar, mohonlah pihak terbabit membuatnya agar semua pelajar yang akan keluar mencari kerja membuka mata apa sebenarnya yang dicari dan dinilai oleh pihak syarikat. - Izman Pauzi | The Repoter
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment