Saya fikir ramai yang mengalami keadaan seperti ini:
"Saya ada sewakan rumah saya kepada penyewa. Tetapi penyewa dah 6 bulan tak bayar sewa. Saya sudah minta penyewa keluar dari rumah sewa, tetapi dia enggan keluar. Apakah tindakan yang patut saya buat?"
Ramai yang memberikan pandangan dan cadangan untuk menyelesaikan masalah itu mengikut pengalaman masing-masing. Ada yang mencadangkan buat laporan polis, potong bekalan elektrik dan air, tukar mangga pagar, tampal iklan rumah untuk dijual, lantik kontraktor untuk buat renovation rumah dan pelbagai cara lagi. Bahkan ada juga yang cadang menggunakan khidmat samseng dan ilmu hitam untuk mengeluarkan penyewa. Astaghfirullahalazim..
Tahukah anda bahawa, cara-cara itu walaupun secara kebetulannya mungkin berkesan dalam sesetengah keadaan, tetapi ianya bukanlah jalan penyelesaian yang ditetapkan oleh undang-undang.
Laporan polis misalnya, bukanlah cara yang tepat untuk menyelesaikan masalah tunggakan sewa. Ini kerana urusan sewaan adalah transaksi kontrak antara pemilik dan penyewa. Jadi, tindakan yang boleh diambil hanyalah melalui tindakan sivil. Melainkan wujudnya elemen jenayah yang dilakukan oleh penyewa tersebut terhadap pemilik rumah seperti, ugutan jenayah, cubaan mencederakan pemilik dan sebagainya.
Cara yang sepatutnya dilakukan mengikut undang-undang adalah seperti berikut:
- Lantik peguam sivil
- Peguam akan hantar notis tuntutan tugngakan sewaan terhadap penyewa dan penyewa akan diberi masa 7 hari untuk menjelaskan bayaran sewaan yang tertunggak.
- Jika penyewa masih enggan membayar tunggakan sewa, peguam akan menghantar notis penamatan sewaan dan notis pengosongan premis kepada penyewa.
- Jika penyewa enggan mengosongkan premis sewaan, peguam akan memfailkan saman terhadap penyewa.
- Setelah mendapat penghakiman daripada Mahkamah, peguam akan failkan permohonan Writ of Distress.
- Setelah perintah Writ of Distress diperolehi dari Mahkamah, pemilik dan peguam akan pergi dengan bailiff (wakil mahkamah) diiringi dengan polis ke premis sewaan tersebut untuk mengarahkan penyewa mengosongkan premis tersebut dan barang-barang milik penyewa akan disita dan dilelong oleh Mahkamah untuk menampung segala tunggakan sewa dan kos-kos yang berkaitan.
Maka, jika ingin selamat, gunakanlah pendekatan perundangan, bukannya mengikut emosi dan kemarahan semata-mata. Tindakan berdiam diri dan bersabar lebih lama juga hanya akan memburukkan lagi keadaan. Jadi, bertindaklah sekarang mengikut peruntukan undang-undang. - Salkukhairi Abd Sukor | The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment